FEBRUARI 2024 | UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
» ARCHIVE COLLECTION » Lets Reflect » FEBRUARI 2024

FEBRUARI 2024

Koleksi siri "Jom TADABBUR 5 HADIS seminggu" ini telah diterbitkan oleh:

Seksyen Dakwah dan Pembangunan Insan
Pusat Islam Universiti
Universiti Putra Malaysia

 

â—¾ Ayuh menyumbang untuk pembangunan dan pengimarahan Masjid UPM menerusi pautan https://pic.upm.edu.my/derma_khairat/pengimarahan_dan_pembangunan_masjid_upm-15012

--------------------------------------------------------------------------------

#038 |Rabu | 17 Syaaban 1445H | 28 Februari 2024

Balasan Pengumpat dan Pengaib



عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " لَمَّا عُرِجَ بِي مَرَرْتُ بِقَوْمٍ لَهُمْ أَظْفَارٌ مِنْ نُحَاسٍ يَخْمُشُونَ وُجُوهَهُمْ وَصُدُورَهُمْ فَقُلْتُ: مَنْ هَؤُلَاءِ يَا جِبْرِيلُ قَالَ: هَؤُلَاءِ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ لُحُومَ النَّاسِ وَيَقَعُونَ فِي أَعْرَاضِهِمْ

Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda : ‘Ketika aku dinaikkan ke langit (pada malam isra dan mikraj), aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku dari tembaga dan mereka mencakar-cakar muka dan dada mereka, maka aku berkata : Siapakah mereka wahai Jibril? Jibril menjawab : Merekalah orang-orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan mengaibkan maruah mereka.” (Riwayat Abu Daud No: 4878) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam adalah agama yang mementingkan akhlak dan adab terpuji

2. Islam melarang umatnya berakhlak buruk seperti mengumpat serta mengaibkan orang lain.

3. Rasulullah SAW diperlihatkan pada malam baginda di isra dan dimikrajkan sekumpulan manusia yang mempunyai kuku dari tembaga dan mereka menyiksa diri sendiri dengan mencakar-cakar muka dan dada mereka. Jibril memberitahu mereka berbuat demikian kerana semasa di dunia mereka mengumpat dan mengaibkan orang Islam lain.

4. Orang yang gemar membicarakan aib orang sama ada melalui tulisan, tiktok dan lain lain, sebenarnya tanpa ia sedari ia sedang memperlihatkan jati dirinya yang asli. Semakin banyak aib yang ia sebarkan, maka semakin jelas keburukan diri si penyebar itu. Allah mengingatkan dengan nada keras kepada golongan ini:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَٰحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ (١٩)

Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (An-Nur: 19)

_________________________________________________________

#037 |Selasa | 16 Syaaban 1445H | 27 Februari 2024

Amalan Yang Tidak Ditinggalkan



عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلَاثٍ صِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَيْ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Daripada Abu Hurairah radliallahu 'anhu berkata: "Kekasihku Rasulullah SAW memberi wasiat kepadaku agar aku berpuasa tiga hari dalam setiap bulan, mendirikan solat Dhuha dua rakaat dan solat witir sebelum aku tidur". (HR Bukhari: No 1845) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

Rasulullah SAW mewasiatkan agar tidak meninggalkan tiga amalan sunat:

a. Puasa sunat tiga hari sebulan

b. Menunaikan solat sunat dhuha dua rakaat setiap hari

c. Solat witir setiap malam sebagai penutup malam atau sebelum tidur

Marilah kita berusaha agar dapat melaksanakan apa yang dipesan oleh Rasulullah SAW.

_________________________________________________________

#036 |Isnin | 15 Syaaban 1445H | 26 Februari 2024

Riya Itu Syirik Kecil



عَنْ مَحْمُودِ بْنِ لَبِيدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاءُ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِذَا جُزِيَ النَّاسُ بِأَعْمَالِهِمْ اذْهَبُوا إِلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا فَانْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً

Daripada Mahmud bin Labid Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah Syirik yang kecil. Para Sahabat bertanya : apa itu syirik yang kecil wahai Rasulullah. Nabi saw bersabda : Itulah Riya’. Allah SWT akan befirman pada hari kiamat kelak: pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalam kamu).” HR Ahmad No: 23630. Status: Sanad Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Syirik kecil merupakan perkara yang perlu dijauhi kerana ia menghilangkan segala pahala amal soleh yang dilakukan.

2. Rasulullah SAW bimbang umatnya akan terjerumus dengan Syirik kecil iaitu Riya’.

3. Riya adalah perbuatan seseorang menunjukkan amal untuk dilihat, disebut atau disanjung oleh manusia lain. Contohnya berselfie ketika beribadah dan muat naik di media sosial seperti di TikTok, FB, Instagram dan lain-lain. Di hari kiamat nanti, orang yang riya’ dalam beramal akan diminta untuk menuntut ganjaran daripada manusia yang ingin disanjung atau disebut.

4. Berdoalah agar dijauhi perbuatan syirik.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لاَ أَعْلَمُ

Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari perbuatan syirik yang aku sedari. Dan, aku memohon ampun kepada-Mu atas dosa-dosa yang tidak aku ketahui.
_________________________________________________________

#035 |Jumaat | 13 Syaaban 1445H | 23 Februari 2024

Ucapkan Alhamdulillāh

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا رَأَى مَا يُحِبُّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

Daripada 'Aisyah RA, kebiasaannya Rasulullah SAW jika menyaksikan hal-hal yang baginda sukai, baginda mengucapkan “Alhamdulillahilladzi bi ni’matihi tatimmus solihat” (segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya segala amal soleh sempurna). Sedangkan jika baginda menyaksikan hal-hal yang tidak menyenangkan baginda mengucapkan “Alhamdulillah ‘ala kulli hal“ (segala puji bagi Allah atas segala keadaan)” (HR Ibn Majah No: 3803) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW adalah contoh ikutan yang paling baik.

2. Rasulullah SAW mengajar kita ucapan terpuji apabila melihat atau menerima suatu berita atau perkara yang kita sukai, maka ucapkanlah kalimah:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ

3. Rasulullah SAW juga mengajar kita ucapan apabila menerima berita atau menyaksikan sesuatu yang tidak menyenangkan hati, maka ucapkanlah kalimah

الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

_________________________________________________________

#034 |Khamis | 12 Syaaban 1445H | 22 Februari 2024

Ibadat Yang Sia-Sia

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَكَمْ مِنْ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Daripada Abu Hurairah berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapatkan pahala puasanya selain lapar, dan berapa banyak orang yang solat malam tidak mendapatkan pahala solat malamnya selain berjaga (menyengkang mata)." (HR Ahmad No: 9308) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Puasa dan solat merupakan ibadat mendekatkan hamba kepada Allah.

2. Puasa dan solat hendaklah dilaksanakan dengan sempurna dan ikhlas.

3. Bagi mereka yang berpuasa, ia bukan sahaja perlu meninggalkan makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa malah perlu meninggalkan perkataan dan perbuatan yang keji atau dusta.

_________________________________________________________

#033 |Rabu | 11 Syaaban 1445H | 21 Februari 2024

Mahligai Di Syurga Kerana 12 Rakaat Solat Sunat Sehari

عَنْ أُمِّ حَبِيبَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَلَّى فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلَاةِ الْفَجْرِ

Daripada Ummu Habibah berkata; "Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa dalam sehari semalam solat sunat dua belas rakaat maka Allah akan membangunkan baginya rumah di syurga; iaitu empat rakaat sebelum zuhur, dua rakaat selepas zohor, dua rakaat selepas maghrib, dua rakaat selepas isya dan dua rakaat sebelum subuh." (HR Tirmizi No: 415) Hadis Sahih

Pengajaran:


1. Selain daripada solat fardhu lima waktu sehari semalam, kita juga digalakkan melakukan solat sunat mengiringi waktu.

2. Orang yang melaksanakan 12 rakaat solat sunat sehari semalam, Allah akan membangunkan sebuah mahligai di syurga.

3. 12 rakaat solat sunat yang sangat di tuntut mengiringi solat fardhu sehari semalam terdiri dari empat rakaat sebelum zuhur, dua rakaat selepas zohor, dua rakaat selepas maghrib, dua rakaat selepas isya dan dua rakaat sebelum subuh.

_________________________________________________________

#032 |Selasa | 10 Syaaban 1445H | 20 Februari 2024

Solat Sunat Subuh Lebih Baik Dari Seisi Dunia

عَنْ عَائِشَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

Diriwayatkan daripada 'Aisyah RA, daripada Nabi SAW, bahawa Baginda SAW bersabda: "Dua rakaat sunat fajar (sebelum solat fardhu subuh) adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya." (HR Muslim No: 1193) Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Keutamaan dan ganjaran untuk mereka yang mendirikan solat sunat dua rakaat sebelum fardhu subuh adalah sangat besar, malah lebih baik daripada dunia serta seluruh isinya.

2. Solat sunat subuh hanya dilakukan setelah terbit fajar subuh. Dianjurkan solat tersebut di awal waktunya dan dilakukan dengan dua rakaat yang ringan. Inilah pendapat Imam Malik, Imam Syafi’i dan jumhur ulama seperti yang dicatat dalam Syarh Shahih Muslim.

3. Jika solat sunat sebelum subuh lebih baik daripada seluruh isi dunia ini, apatah lagi solat fardhu subuh yang kelebihannya lebih baik daripada itu.

_________________________________________________________

#031 |Isnin | 09 Syaaban 1445H | 19 Februari 2024

Segerakan Apa Yang Perlu Disegerakan

عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَهُ يَا عَلِيُّ ثَلَاثٌ لَا تُؤَخِّرْهَا الصَّلَاةُ إِذَا آنَتْ وَالْجَنَازَةُ إِذَا حَضَرَتْ وَالْأَيِّمُ إِذَا وَجَدْتَ لَهَا كُفْئًا

Daripada Ali bin Abu Thalib bahawa Nabi SAW pernah bersabda kepadanya: "Wahai Ali, ada tiga perkara jika tiba waktunya tidak boleh ditunda-tunda, solat jika telah masuk waktunya, jenazah jika telah hadir untuk disolatkan dan wanita jika telah datang jodoh yang sekufu (sepadan) dengannya." (HR Tirmidzi No: 1075) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Tiga perkara yang perlu disegerakan oleh setiap orang Islam apabila sampai waktunya iaitu:

1. Solat fardhu perlu disegerakan jika telah masuk waktunya (kerana kematian boleh berlaku bila-bila masa)

2. Jenazah perlu disegerakan urusan pengkebumian

3. Perempuan yang telah ada lelaki yang sekufu (sepadan) yang ingin berkahwin dengannya.

_________________________________________________________

#030 |Jumaat | 06 Syaaban 1445H | 16 Februari 2024

Pelihara Solat Sunat Sebelum Subuh

Pelihara Solat Sunat Sebelum Subuh

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَكُنْ عَلَى شَيْءٍ مِنْ النَّوَافِلِ أَشَدَّ مُعَاهَدَةً مِنْهُ عَلَى رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الصُّبْحِ

Diriwayatkan daripada 'Aisyah RA bahawa tidak ada solat sunat yang lebih dijaga oleh Nabi SAW daripada dua rakaat sebelum fardhu subuh." (HR Muslim No: 1191) Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW merupakan contoh ikutan kepada kita dalam memperbanyakkan ibadah harian yang amat digalakkan, di antaranya ialah solat sunat.

2.  Di antara solat sunat yang amat dijaga oleh Rasulullah SAW ialah solat sunat dua rakaat sebelum subuh.

 

_________________________________________________________

#029 |Khamis | 05 Syaaban 1445H | 15 Februari 2024

Contohi Rasulullah SAW Dalam Keceriaan Wajah

Contohi Rasulullah SAW Dalam Keceriaan Wajah

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحْقِرَنَّ مِنْ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ

Daripada Abu Dzar, Rasulullah SAW bersabda: Jangan sekali-kali kalian menganggap remeh suatu kebajikan meskipun hanya berupa keceriaan wajah ketika bertemu dengan kawanmu" HR Muslim No 4760. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap amal baik walaupun kecil, tetap mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

2. Memberikan salam, berwajah ceria dan senyum apabila bertemu sahabat adalah antara amal kebaikan yang dituntut agama.

3. Sikap ceria, senyum, gembira dan bertutur dengan kata-kata yang baik ketika berinteraksi dengan orang lain adalah suatu tuntutan akhlak Islam.

4. Penampilan wajah yang ceria ketika bertemu dapat mengeratkan ikatan ukhuwah sesama muslim.

_________________________________________________________

#028 |Rabu | 04 Syaaban 1445H | 14 Februari 2024

Pengunjung Masjid Dijanjikan Tempat Tinggal Di Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ وَرَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ نُزُلَهُ مِنْ الْجَنَّةِ كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Daripada Abu Hurairah dari Nabi SAW bersabda: "Barangsiapa datang ke masjid di pagi dan petang hari, maka Allah akan menyediakan baginya tempat tinggal yang baik di syurga setiap kali dia berangkat ke masjid di pagi dan petang hari." (HR Bukhari No: 622) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:
1. Isra dan Mikraj yang berlaku di bulan Rejab kepada baginda Nabi SAW mengingatkan kita tentang keutamaan masjid dan bermulanya kewajipan solat .

2. Orang yang pagi dan petang hari sentiasa ke Masjid, Allah akan menyediakan untuknya tempat tinggal yang baik di syurga.

3. Satu daripada golongan yang mendapat naungan di sisi Allah dihari kiamat ialah lelaki yang hatinya sentiasa tertambat di masjid kerana mengimarahkannya. Sesuai dengan hadis Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ تَعَالَى فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لاَظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ.... وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ.....

“Tujuh golongan manusia yang dilindungi Allah di hari yang tidak ada perlindungan pada hari kiamat melainkan perlindungan Allah iaitu lelaki yang hatinya sentiasa tertambat kepada masjid.” (HR Bukhari No: 620)

_________________________________________________________

#027 |Selasa | 03 Syaaban 1445H | 13 Februari 2024

Kelebihan Solat Berjemaah Isyak dan Subuh

Kelebihan Solat Berjemaah Isyak dan Subuh

عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ شَهِدَ الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ كَانَ لَهُ قِيَامُ نِصْفِ لَيْلَةٍ وَمَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ وَالْفَجْرَ فِي جَمَاعَةٍ كَانَ لَهُ كَقِيَامِ لَيْلَةٍ

Daripada Utsman bin 'Affan RA berkata; "Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa melaksanakan solat isyak berjemaah maka akan mendapat pahala solat setengah malam, dan barangsiapa melaksanakan solat isyak dan subuh dengan berjamaah maka akan mendapat pahala solat sepanjang malam." (HR Tirmizi No: 205) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Solat yang dilaksanakan secara berjemaah akan diberi ganjaran balasan pahala yang berganda.

2. Seseorang yang melaksanakan solat isyak berjemaah seolah-olah sedang solat separuh dari malam.

3. Seseorang yang melaksanakan solat isyak dan subuh berjemaah, Maka akan mendapat pahala seperti dia solat sepanjang malam

_________________________________________________________

#026 |Isnin | 02 Syaaban 1445H | 12 Februari 2024

Amalan Syaban Menghadapi Ramadhan

Amalan Syaban Menghadapi Ramadan
 
عَنْ أَبِي سَلَمَةَ أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا حَدَّثَتْهُ قَالَتْ لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ وَكَانَ يَقُولُ خُذُوا مِنْ الْعَمَلِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَأَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّتْ وَكَانَ إِذَا صَلَّى صَلَاةً دَاوَمَ عَلَيْهَا
 
Daripada Abu Salamah bahawa 'Aisyah RA menceritakan kepadanya, katanya: "Rasulullah SAW tidak pernah melaksanakan puasa lebih banyak dalam sebulan selain bulan Syaban, ada kalanya baginda melaksanakan puasa bulan Syaban seluruhnya. Baginda bersabda: "Lakukanlah amal-amal yang kalian sanggup melaksanakannya, kerana Allah tidak akan berpaling (dalam memberikan pahala) sampai kalian yang lebih dahulu berpaling (dari mengerjakan amal) ". Solat yang paling Nabi SAW cintai adalah solat yang dijaga kesinambungannya sekalipun sedikit. Baginda bila sudah biasa melaksanakan solat (sunat) baginda menjaga kesinambungannya". (HR Bukhari No: 1834) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
 
1. Rasulullah SAW melaksanakan puasa sunat paling banyak pada bulan Syaban untuk kita contohi.
2. Laksanakanlah setiap amal kita semampunya dengan istiqamah, kerana Allah sentiasa memberikan ganjaran pahala.
3. Solat sunat yang Nabi SAW cintai ialah yang dilakukan secara istiqamah walaupun sedikit.
4. Pelihara solat sunat mengiringi waktu, dhuha, tahajud, witir dan lain-lain walaupun hanya dua rakaat.

_________________________________________________________

#025 |Jumaat | 28 Rejab 1445H | 09 Februari 2024

Redha Allah Dengan Redha Ibu Bapa

Reda Allah Dengan Reda Ibu Bapa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رِضَى الرَّبِّ فِي رِضَى الْوَالِدِ وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ

Daripada Abdullah bin Amr RA dari Nabi SAW, bersabda: "Redha Allah terdapat pada redha seorang bapa, dan murka Allah juga terdapat pada murkanya seorang bapa." (HR Tirmizi No:1821) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Adab seorang anak ialah berbakti dan berbuat baik kepada kedua orang tuanya

2. Imam Al Ghazali berkata: Antara adab anak kepada orang tuanya adalah; mendengarkan perkataannya, mentaati perintahnya (selagi tidak bertentangan syarak), tidak berjalan di hadapannya, tidak meninggikan suara, serta berusaha untuk mendapatkan keredaannya.

3. Keredaan Allah kepada seseorang bergantung kepada keredhaan kedua orang tua

رِضَا الرَّبِّ فِى رِضَا الْوَالِدَيْنِ وَسُخْطُهُ فِى سُخْطِهِمَا

Redha Allah terletak pada redha kedua orang tua dan murka Allah terletak pada murka kedua orang tua (HR Tabrani dari Ibnu Umar).

_________________________________________________________

#024 |Khamis | 27 Rejab 1445H | 08 Februari 2024

Kurniaan Dan Keluasan Rahmat Allah

Kurniaan dan Keluasan Rahmat Allah

عَنْ أَبي ذَرٍّ رضي الله عنه قال: أَنَّ أُنَاسَاً مِنْ أَصحَابِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالوا للنَّبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَارَسُولَ الله: ذَهَبَ أَهلُ الدثورِ بِالأُجورِ، يُصَلُّوْنَ كَمَا نُصَلِّيْ، وَيَصُوْمُوْنَ كَمَا نَصُوْمُ، وَيَتَصَدَّقُوْنَ بفُضُوْلِ أَمْوَالِهِمْ، قَالَ: أَوَ لَيْسَ قَدْ جَعَلَ اللهُ لَكُمْ مَا تَصَّدَّقُوْنَ؟ إِنَّ بِكُلِّ تَسْبِيْحَةٍ صَدَقَة.وَكُلِّ تَكْبِيْرَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَحْمَيْدَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَهْلِيْلَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بالِمَعْرُوْفٍ صَدَقَةٌ وَنَهْيٌ عَنْ مُنْكَرٍ صَدَقَةٌ وَفِيْ بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ. قَالُوا: يَا رَسُوْلَ اللهِ أَيَأْتِيْ أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُوْنُ لَهُ فِيْهَا أَجْرٌ؟ قَالَ:أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فَيْ حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ وِزْرٌ؟ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فَي الحَلالِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ

Daripada Abu Dzar RA bahawa ada beberapa sahabat berkata kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya raya telah pergi membawa pahala yang banyak. Mereka solat sebagaimana kami solat, mereka berpuasa sebagaimana kami juga berpuasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka (sedangkan kami tidak boleh bersedekah).” Baginda SAW bersabda, “Bukankah Allah telah menjadikan untuk kamu sesuatu untuk kalian boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya setiap tasbih itu adalah sedekah, setiap takbir itu adalah sedekah, setiap tahmid itu adalah sedekah, setiap tahlil itu adalah sedekah, memerintahkan kepada hal yang makruf itu adalah sedekah, mencegah kemungkaran itu adalah sedekah, dan dalam kemaluan kalian itu juga terdapat sedekah.” Para sahabat bertanya, ”Wahai Rasulullah, apakah salah seorang dari kami jika menyalurkan syahwatnya dia akan mendapatkan pahala?” Baginda bersabda, “Bagaimana pendapat kamu seandainya dia memuaskan nafsu syahawatnya pada yang haram, bukankah berdosa? Demikianlah sebaliknya kalau ia menyalurkannya pada yang halal, tentu dia memperoleh pahala.” (HR Muslim No: 1006) Status Hadis Sahih.

Pengajaran:

1. Setiap orang sama ada miskin mahupun kaya berpeluang melakukan amal soleh

2. Muslim yang berharta, di samping melaksanakan ibadat solat dan puasa, dia berpeluang melakukan amal soleh yang lain seperti bersedekah.

3. Muslim yang tidak berharta (miskin) juga berpeluang memperolehi ganjaran pahala seperti orang kaya malah mungkin lebih baik. Selain daripada ibadat solat dan puasa kita dianjurkan oleh Rasulullah SAW menjana ganjaran pahala melalui amalan tasbih, takbir, tahmid, tahlil dan melakukan kerja dakwah iaitu menyeru kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran.

4. Ganjaran pahala juga diberikan kepada mereka yang memberi nafkah kepada ahli keluarga seperti makan minum dan pakaian juga mendapat pahala apabila seorang suami mengauli isteri atau sebaliknya.

_________________________________________________________

#023 |Rabu | 26 Rejab 1445H | 07 Februari 2024

Suruhan Dan Larangan

Suruhan dan Larangan

عن أبي ثعلبة الخشني رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: إِنَّ اللهَ تَعَالَى فَرَضَ فَرَائِضَ فَلاَ تُضَيِّعُوهَا وَحَدَّ حُدُوداً فَلاَ تَعْتَدُوهَا وَحَرَّمَ أَشْيَاءَ فَلاَ تَنْتَهِكُوهَا وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً لَكُمْ غَيْرَ نِسْيَانٍ فَلاَ تَبْحَثُوا عَنْهَا حَدِيثٌ حَسَنٌ رَوَاهُ الدَّارَقُطْنِي وَغَيْرُهُ

Daripada Abi Tsa’labah al-Khusyani RA dari Nabi SAW, Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan beberapa kefardhuan, maka janganlah engkau meninggalkannya. Dia telah menetapkan beberapa had sempadan, maka janganlah engkau melampauinya. Dia telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah engkau melanggarinya. Dan Dia telah diam daripada beberapa perkara (tidak menyebut hukumnya) sebagai rahmat bagimu, bukan disebabkan Dia lupa, maka janganlah engkau mencari-cari dan mempersoalkannya.” (HR Baihaqi No: 20217 dalam al-Sunan al-Kubra dan Abu Nu’aim dalam Hilyatul Auliya (9/17)] Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Setiap mukmin dituntut supaya mematuhi perintah Allah SWT sama ada berbentuk suruhan fardhu seperti solat, puasa, zakat mahupun larangan haram.

2. Setiap mukmin diingatkan agar memelihara dengan baik segala amalan fardhu yang Allah SWT fardhukan, jangan sampai dipersiakan atau dihilangkan begitu sahaja.

3. Allah menentukan beberapa batasan dan beberapa perkara haram, maka setiap mukmin dituntut agar benar-benar menjaga sempadan halal haram ini, jangan sampai dia mencabuli perkara haram apatah lagi kalau sampai menghalalkan perkara haram.

4. Allah SWT mendiamkan beberapa perkara iaitu tidak menyatakan halal haramnya secara jelas, maka janganlah kita menyusahkan diri mencari hukumnya. Allah berbuat demikian bukan kerana lupa, bahkan sebagai rahmat dan belas kasihan Allah kepada hambanya demi memberi kemudahan bagi manusia. Sekiranya dilakukan ia tidak berdosa dan jika ditinggalkan juga tidak berdosa.

--------------------------------------------------------------------------------

#022 |Selasa | 25 Rejab 1445H | 06 Februari 2024

Sifat Zuhud Dan Kesannya

Sifat Zuhud dan Kesannya


عَنْ أَبِي الْعَبَّاسِ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ السَّاعِدِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ الَى النَّبِيِّ صَلَي اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَمَ فَقَالَ: يَا رَسولَ الله دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ إِذَا عَمِلْتُهُ اَحَبَنِيَ اللهُ وَ اَحَبَنِيَ النَّاسُ فَقَالَ: ازْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبَّكَ اللهُ وَ ازْهَدْ فِي مَا عِنْدَ النَّاسِ يُحِبَّكَ النَّاسُ حَدِيثٌ حَسَنٌ رَوَاهُ ابْنُ مَاجَه وَ غَيْرُهُ بِأَسَانِيدَ حَسَنَةٍ


Daripada Abi al-Abbas Sahl bin Sa’ad al-Sa’idi r.a berkata, bahawa seseorang datang kepada Nabi SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah, tunjukkanlah saya suatu pekerjaan yang jika dikerjakan nescaya saya dicintai Allah dan dicintai umat manusia.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Zuhudlah engkau akan dunia, nescaya Allah akan menyintaimu, dan zuhudlah engkau akan apa yang ada pada manusia, nescaya mereka mencintaimu.” (HR Ibn Majah No: 4102) Status: Hadis Hasan


Pengajaran:


1. Suatu sifat penting yang wajib ada pada diri setiap mukmin ialah sifat zuhud.

2. Zuhud terhadap dunia mempunyai banyak pengertian di kalangan ulama tasauf, antaranya ialah membenci, berpaling, meninggalkan dan menjauhkan diri dari kemewahan dunia serta mengosongkan hati dari mengingati perkara dunia.

3. Zuhud terhadap apa yang dimiliki manusia, bererti menjauhkan diri dari merasa irihati terhadap apa yang dimiliki oleh manusia serta mengosongkan hati dari mengingati harta milik orang. Bukan bererti membenci sehingga suka agar kesenangan orang lain hilang kerana itu hasad dengki yang amat dilarang.

4. Zuhud sebenar bukan bererti meninggalkan dunia atau langsung tidak berharta. Zuhud sejati ialah tidak menjadikan dunia dan kemewahan hidup sebagai matlamat hidup, walaupun kekayaannya memenuhi dunia seumpama yang terjadi pada jutawan zaman Rasulullah SAW seperti Abdul Rahman ibn ‘Auf, kerana matlamat hidup seorang mukmin ialah Allah dan keredhaanNya, bukan benda-benda selainNya.

5. Sesiapa yang memiliki sifat zuhud, nescaya Allah akan menyintainya.

_________________________________________________________

#021 |Isnin | 24 Rejab 1445H | 05 Februari 2024

Menyembunyikan Ilmu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سُئِلَ عَنْ عِلْمٍ فَكَتَمَهُ أَلْجَمَهُ اللَّهُ بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa ditanya mengenai suatu ilmu dan ia menyembunyikannya, maka ia akan dipukul dengan pukulan dari api neraka pada hari kiamat." (Abu Daud No: 3173) Status: Hadis Hasan
 
Pengajaran:
1. Ilmu bermanfaat yang ada pada seorang mukmin sama ada ilmu agama atau ilmu keduniaan, perlu disebarkan atau disampaikan untuk manfaat orang lain.
2. Ilmu bermanfaat yang diajar kepada orang lain akan menjadi bekalan pahala berterusan selepas seseorang itu meninggal dunia.
3. Mereka yang enggan menyampaikan ilmu yang benar serta menyembunyikannya dengan tidak menyampaikan kepada orang lain akan dihukum di akhirat nanti.
4. Bagi mereka yang berilmu, jauhilah dari sifat kedekut untuk berkongsi dan menyebarkan ilmu bermanfaat lebih-lebih lagi yang diperlukan oleh orang lain.

_________________________________________________________

#020 |Jumaat | 21 Rejab 1445H | 02 Februari 2024

Tundukkan Hawa Nafsu

عَنْ أَبِي مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ العَاصِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ هَوَاهُ تَبَعاً لِمَا جِئْتُ بِهِ.

Daripada Abu Muhammad Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Tidak beriman seseorang daripada kalian sehinggalah hawa nafsunya berjaya mengikuti apa yang aku bawa.” (HR Baihaqi dalam al Madkhal Ilas Sunnan al Kubra (1/88) Status Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Salah satu daripada tuntutan iman adalah menjadikan hawa nafsunya tunduk dan menurut ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Sekiranya dia mengutamakan hawa nafsunya berbanding mengamalkan ajaran lslam, atau menyintai maksiat berbanding amal kebajikan, maka imannya tidak sempurna.

2. Ungkapan ‘tidak beriman’ bererti imannya tidak sempurna dan masih cacat atau tempang, bukan bererti dia jatuh kufur. Dia hanya jatuh kufur apabila dia menafikan atau menolak mana-mana ajaran lslam.

3. Mujahadah hawa nafsu adalah mujahadah yang berat yang tidak tertanggung kecuali oleh orang yang benar-benar ikhlas beriman dan menyintai Allah SWT dan Rasul-Nya

_________________________________________________________

#019 |Khamis | 20 Rejab 1445H | 01 Februari 2024

Waktu Mustajab Doa

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ثِنْتَانِ لاَ تُرَدَّانِ اَلدُّعَاءُ عِنْدَ النِّدَاءِ وَتَحْتَ الْمَطَرِ

Daripada Sahl bin Sa’ad RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Dua doa yang tidak pernah ditolak iaitu doa selepas waktu azan dan doa pada waktu hujan turun." (HR al-Hakim, No: 2534) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1. Doa adalah ibadah yang dituntut kepada setiap Muslim melakukannya.

2. Ada waktu yang sesiapa berdoa kepada Allah SWT akan diperkenankan iaitu:

a. Doa selepas azan dan sebelum iqamah
b. Doa pada waktu hujan mula turun

3. Imam An-Nawawi berkata bahawa penyebab doa pada waktu turun hujan tidak ditolak atau jarang ditolak kerana pada waktu tersebut sedang turun rahmat, khususnya curahan hujan pertama di awal musim. (Fathul Qadir 3/340).

 

----------------------------------------------------------------------------------

Koleksi siri "Jom TADABBUR 5 HADIS seminggu" ini telah diterbitkan oleh:

Seksyen Dakwah dan Pembangunan Insan
Pusat Islam Universiti
Universiti Putra Malaysia

 

â—¾ Ayuh menyumbang untuk pembangunan dan pengimarahan Masjid UPM menerusi pautan https://pic.upm.edu.my/derma_khairat/pengimarahan_dan_pembangunan_masjid_upm-15012

--------------------------------------------------------------------------------

Updated:: 01/03/2024 [asmunir]

MEDIA SHARING

UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXFDVA2~