JANUARY 2024 | UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
» ARCHIVE COLLECTION » Lets Reflect » JANUARY 2024

JANUARY 2024

Koleksi siri "Jom TADABBUR 5 HADIS seminggu" ini telah diterbitkan oleh:

Seksyen Dakwah dan Pembangunan Insan
Pusat Islam Universiti
Universiti Putra Malaysia

 

â—¾ Ayuh menyumbang untuk pembangunan dan pengimarahan Masjid UPM menerusi pautan https://pic.upm.edu.my/derma_khairat/pengimarahan_dan_pembangunan_masjid_upm-15012

--------------------------------------------------------------------------------

#018 |Rabu | 19 Rejab 1445H | 31 Januari 2024

Sakit Penghapus Dosa

عَنْ الْحَارِثِ بْنِ سُوَيْدٍ قَالَ : قَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْعُودٍ قَالَ : رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُصِيبُهُ أَذًى مَرَضٌ فَمَا سِوَاهُ إِلَّا حَطَّ اللَّهُ لَهُ سَيِّئَاتِهِ كَمَا تَحُطُّ الشَّجَرَةُ وَرَقَهَا " .

Daripada al-Harith bin Suiyed beliau berkata, telah berkata Abdullah bin Masud bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya.” (HR Bukhari No: 5255) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sihat dan sakit adalah anugerah Allah kepada makhluk.

2. Rasa sakit adalah suatu anugerah yang harus disyukuri kerana Allah memberikan rasa sakit sebagai tanda kasih sayang Allah terhadap mahluknya. Apabila sakit, kita akan segera menyedari kelemahan kita sebagai hamba. Kita akan segera mengingati Allah dan berdoa agar diberi kesembuhan.

3. Bagi manusia yang berpikir tentunya, rasa sakit adalah sebagai ujian dari Allah untuk menghilangkan dosa seseorang malah juga untuk meningkatkan darjatnya di sisi Allah.

4. Orang yang bersabar dan redha di atas penyakit yang menimpanya, nescaya Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosa seperti pokok yang mengugurkan daun-daun yang kering.

_________________________________________________________

#017 |Selasa | 18 Rejab 1445H | 30 Januari 2024

Ciri Wanita Untuk Dikahwini

Ciri Wanita Untuk Dikahwini

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Wanita itu dinikahi kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, nescaya kamu akan beruntung dan bernasib baik." (HR Bukhari No: 4700) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Perkahwinan adalah ibadah yang digalakkan bagi yang berkemampuan bagi menyalurkan naluri seks yang halal serta dibenarkan oleh syarak untuk mencari keredhaan Allah.

2. Wanita ideal yang dipilih menjadi isteri sebaiknya memiliki empat ciri berikut:

a. Harta
b. Keturunan (termasuk keturunan yang ramai)
c. Kecantikan
d. Agama

3. Pemilihan wanita yang berdasarkan kepada harta, keturunan dan kecantikan semata-mata tidak digalakkan oleh Islam. Pemilihan ini tidak dapat menjamin sepenuhnya kebahagiaan rumahtangga serta pendidikan anak-anak yang bakal dilahirkan.

4. Pemilihan jodoh sama ada bagi lelaki mahupun wanita hendaklah mengutamakan kepada mereka yang beragama dan beramal dengan kehendak agama (soleh dan solehah). Selepas aspek beragama, barulah dilihat aspek harta, keturunan dan kecantikan.

_________________________________________________________

#016 |Isnin | 17 Rejab 1445H | 29 Januari 2024

Amalan Anak Soleh

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أُمِّيَ افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا وَإِنِّي أَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ فَلِي أَجْرٌ أَنْ أَتَصَدَّقَ عَنْهَا قَالَ نَعَمْ


Daripada 'Aisyah RA, bahawa seorang laki-laki bertanya kepada Nabi SAW, katanya, "Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia, dan saya kira jika dia dapat berbicara dia akan bersedekah, apakah saya juga akan mendapatkan pahala jika saya bersedekah atas namanya?" baginda menjawab: "Ya." (HR Muslim No: 3082) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Anak yang soleh akan sentiasa berbakti untuk kedua ibu bapanya.

2. Anak yang soleh masih boleh berbakti kepada kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia.

3. Pahala amal soleh yang dilakukan oleh si anak akan turut diperolehi oleh kedua ibu bapa antaranya sedekah yang diniatkan untuk kedua ibu bapanya yang beriman.

 

_________________________________________________________

#015 |Jumaat | 14 Rejab 1445H | 26 Januari 2024

Musibah Menghapus Dosa

Musibah Menghapus Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Tidaklah seorang muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan kesalahannya." (HR Bukhari No: 5641) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap yang dihadapi oleh seseorang, sama ada berupa kesenangan mahupun kesusahan adalah ujian untuk melihat siapakah yang lebih baik amalannya di sisi Allah.

2. Setiap muslim perlu sentiasa bersabar dan reda apabila ditimpa dengan penyakit, keletihan, kesedihan, mahupun kesusahan termasuk musibah banjir yang melanda di beberapa kawasan sekarang ini.

3. Sebagai Muslim hendaklah sentiasa sedar bahawa setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupan ada hikmah yang tersendiri. Allah SWT mendatangkan ujian berupa musibah, kesakitan, keletihan, kegusaran, dan sesuatu yang menganggu kehidupan adalah sebagai penghapus dosa dan ketinggian darjat agar para hamba-Nya sentiasa dalam rahmat-Nya.

4. Marilah kita menyerahkan segala musibah kepada Allah dengan memperbanyakkan zikir yang diajar oleh Rasulullah kepada sahabat: Nabi SAW bersabda:

يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ قَيْسٍ قُلْ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ فَإِنَّهَا كَنْزٌ مِنْ كُنُوزِ الْجَنَّةِ

_________________________________________________________

#014 |Khamis | 13 Rejab 1445H | 25 Januari 2024

Jadilah Suami Mithali

Jadilah Suami Mithali


عَنْ الْأَسْوَدِ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ مَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ فِي بَيْتِهِ قَالَتْ كَانَ يَكُونُ فِي مِهْنَةِ أَهْلِهِ تَعْنِي خِدْمَةَ أَهْلِهِ فَإِذَا حَضَرَتْ الصَّلَاةُ خَرَجَ إِلَى الصَّلَاةِ

Diriwayatkam daripada Al Aswad yang pernah berkata: "Aku telah bertanya kepada 'Aisyah RA tentang apa yang dilakukan Nabi SAW ketika berada di rumah. Maka 'Aisyah RA pun menjawab: "Baginda selalu membantu keluarga dan apabila hampir waktu solat maka baginda keluar untuk melaksanakannya (di masjid)." (HR Bukhari No: 635) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW menunjukkan contoh apabila berada di rumah dengan menjalankan tugasan rumah tangga seperti membasuh, memasak dan lain-lain.

2. Rasulullah SAW tidak mengabaikan ibadah solat fardhu berjemaah di masjid apabila sampai waktunya, di samping peranan Baginda dalam menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat.

3. Pemimpin yang baik ialah yang dapat melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah SWT, keluarga serta tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.

4. Keluarga yang bahagia akan terbentuk apabila suami dan isteri dapat melaksanakan tugas dan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan saling membantu dalam urusan harian tanpa mengabaikan kewajipan terhadap Allah SWT.

_________________________________________________________

#013 |Rabu | 12 Rejab 1445H | 24 Januari 2024

Anak Tidak Mampu Membalas Jasa Ibu Bapa



Anak Tidak Mampu Membalas Jasa Ibu Bapa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَجْزِي وَلَدٌ وَالِدًا إِلَّا أَنْ يَجِدَهُ مَمْلُوكًا فَيَشْتَرِيَهُ فَيُعْتِقَهُ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Seorang anak tidak akan mampu untuk membalas kebaikan orang tuanya, kecuali ia mendapati dirinya dalam keadaan hamba, lalu ia membeli dan memerdekakannya." (HR Tirmizi No: 1829) Status: Hasan Sahih.

Pengajaran:

1. Pengorbanan ibu bapa terhadap anak-anak amat besar. Bermula dari kesusahan si ibu ketika mengandungkannya, melahirkan hinggalah membesarkannya.

2. Seorang anak tidak akan mampu membalas kebaikan ibu bapanya yang telah mengasuh, membimbing dan memberikan pendidikan di samping keperluan fizikal seperti makan, minum serta pakaian.

3. Perbandingan membalas jasa keduanya diumpamakan jika orang tuanya seorang hamba, lalu si anak berusaha untuk membeli dan memerdekakannya.

_________________________________________________________

#012 |Selasa | 11 Rejab 1445H | 23 Januari 2024

Golongan Yang Dilaknat

Golongan Yang Dilaknat

أَبُو الطُّفَيْلِ عَامِرُ بْنُ وَاثِلَةَ قَالَ كُنْتُ عِنْدَ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَقَالَ مَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسِرُّ إِلَيْكَ قَالَ فَغَضِبَ وَقَالَ مَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسِرُّ إِلَيَّ شَيْئًا يَكْتُمُهُ النَّاسَ غَيْرَ أَنَّهُ قَدْ حَدَّثَنِي بِكَلِمَاتٍ أَرْبَعٍ قَالَ فَقَالَ مَا هُنَّ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ قَالَ قَالَ لَعَنَ اللَّهُ مَنْ لَعَنَ وَالِدَهُ وَلَعَنَ اللَّهُ مَنْ ذَبَحَ لِغَيْرِ اللَّهِ وَلَعَنَ اللَّهُ مَنْ آوَى مُحْدِثًا وَلَعَنَ اللَّهُ مَنْ غَيَّرَ مَنَارَ الْأَرْضِ

Abu At Thufail 'Amir bin Wastilah berkata, "Saya berada di samping Ali bin Abu Thalib, tiba-tiba seorang lelaki datang menemuinya kemudian berkata, "Apakah Nabi SAW pernah menyampaikan suatu rahsia kepadamu (yang tidak diberitahukan kepada orang lain)?" Abu Thufail berkata, "Ali pun marah kemudian berkata, "Tidaklah Nabi SAW menyampaikan suatu rahsia kepadaku dan tidak menyampaikannya kepada manusia, kecuali bahawa baginda pernah menyampaikan empat perkara kepadaku."Abu Thufail berkata, "lelaki tersebut bertanya,"Apakah empat perkara itu wahai Amirul Mukminin?" Abu Thufail menjelaskan, " Kemudian Ali menjawab, "Allah melaknat orang yang melaknat orang tuanya, Allah melaknat orang yang menyembelih selain Allah, Allah melaknat orang yang menyembunyikan penjahat (orang yang melanggar hukum Allah) dan Allah melaknat orang yang memindah batas tanah."(HR Muslim No: 3657) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Allah melaknat empat golongan pelaku maksiat berikut:

1. Allah melaknat orang yang mencela orang tuanya;

2. Allah melaknat orang yang menyembelih untuk selain Allah;

3. Allah melaknat orang yang melindungi pelaku kejahatan (orang tersebut mendapat keringanan hukuman atau bebas dari hukuman yang telah ditetapkan syariat) dan;

4. Allah melaknat orang yang memindah batas tanah (batu tanda mengukur sempadan tanah)

_________________________________________________________

#011 |Isnin | 10 Rejab 1445H | 22 Januari 2024

Belajar Kerana Habuan Dunia

Belajar Kerana Habuan Dunia

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلَّا لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنْ الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَعْنِي رِيحَهَا

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa mempelajari suatu ilmu yang seharusnya kerana Allah Azza Wa Jalla, namun ia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dari dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat. " (HR Abu Daud No: 3179) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Belajar merupakan suatu tuntutan setiap muslim.

2. Mempelajari ilmu mesti bermatlamat mencari keredaan Allah SWT.

3. Orang yang belajar semata-mata untuk tujuan dunia seperti hanya untuk keperluan pangkat dan kedudukan, dia tidak akan memasuki Syurga.

________________________________________________________

 

#010 |Jumaat | 07 Rejab 1445H | 19 Januari 2024

Simpanan Tetap Seorang Muslim

Simpanan Tetap Seorang Muslim

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِمَّا يَلْحَقُ الْمُؤْمِنَ مِنْ عَمَلِهِ وَحَسَنَاتِهِ بَعْدَ مَوْتِهِ عِلْمًا عَلَّمَهُ وَنَشَرَهُ وَوَلَدًا صَالِحًا تَرَكَهُ وَمُصْحَفًا وَرَّثَهُ أَوْ مَسْجِدًا بَنَاهُ أَوْ بَيْتًا لِابْنِ السَّبِيلِ بَنَاهُ أَوْ نَهْرًا أَجْرَاهُ أَوْ صَدَقَةً أَخْرَجَهَا مِنْ مَالِهِ فِي صِحَّتِهِ وَحَيَاتِهِ يَلْحَقُهُ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya antara perkara yang akan mengikut orang-orang mukmin dari segi amalan dan kebajikannya sesudah mati antaranya Ilmu (berguna) yang diajar dan disebarkan, atau anak yang soleh yang ditinggalkan (memohon istighfar dan berdoa untuknya), atau al-Quran yang diwariskan, atau masjid yang ia bina, atau rumah yang ia bina untuk ibnu sabil, atau sungai yang ia alirkan (untuk orang lain), atau sedekah yang ia keluarkan dari harta miliknya pada masa ia sihat dan masa hidupnya, semuanya akan mengiringinya setelah kematiannya" (HR Ibnu Majah No: 238) Status: Hadis Hasan.

Pengajaran:

Amalan seorang Mukmin akan berterusan ganjaran pahalanya walaupun pemiliknya telah meninggal dunia antaranya:

1. Ilmu berguna dan bermanfaat yang diajar dan disebarkan kepada orang lain: melalui lisan seperti ceramah juga tulisan dalam bentuk buku, artikel, jurnal, termasuk dalam bentuk e-book, dalam FB, Laman Sesawang mahupun telegram dan whatsapp.

2. Anak soleh yang mendoakan dan memohon keampunan untuknya.

3. Al-Quran yang diwariskan berbentuk mushaf atau yang diajar.

4. Masjid yang dibina.

4. Sedekah yang kita lakukan ke atas harta semasa kita sihat dan semasa hidup sama ada dalam bentuk wakaf, derma, mahupun sedekah.

________________________________________________________

#009 |Khamis | 06 Rejab 1445H | 18 Januari 2024

Berilmu Tapi Masuk Neraka

Berilmu Tapi Masuk Neraka

حَدَّثَنِي ابْنُ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ طَلَبَ الْعِلْمَ لِيُجَارِيَ بِهِ الْعُلَمَاءَ أَوْ لِيُمَارِيَ بِهِ السُّفَهَاءَ أَوْ يَصْرِفَ بِهِ وُجُوهَ النَّاسِ إِلَيْهِ أَدْخَلَهُ اللَّهُ النَّارَ

Telah bercerita kepada kami Ibnu Ka'b bin Malik dari bapanya dia berkata; Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang mencari ilmu dengan tujuan menyaingi ulama (berdebat dengan mereka) atau mempermainkan orang-orang bodoh dan supaya dihormati oleh manusia, Allah akan memasukkannya ke dalam neraka” (HR Tirmizi No: 2578) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Menuntut ilmu adalah menjadi suatu keperluan kepada setiap Muslim

2. Menuntut ilmu khususnya ilmu agama adalah bertujuan mendekatkan diri kepada Allah.

3. Orang yang menuntut ilmu bertujuan untuk menandingi, merendah dan memperlekeh orang lain, dia akan dimasukkan ke neraka.

4. Orang yang menuntut ilmu dengan mengharap agar dihormati dan disanjung orang dengan sebab ilmunya, Allah akan memasukkannya ke dalam neraka.

 

 ________________________________________________________

#008 |Rabu | 05 Rejab 1445H | 17 Januari 2024

Pertanyaan Di Padang Mahsyar

Pertanyaan Di Padang Mahsyar

عَنْ أَبِي بَرْزَةَ الْأَسْلَمِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاه

Daripada Abu Barzah Al Aslami berkata: Rasulullah SAW bersabda: Dua kaki seorang hamba tidak akan bergerak (pada hari kiamat) sehingga dia ditanya tentang umurnya, ke mana dihabiskan, tentang ilmunya apakah yang telah dilakukan dengan ilmunya, tentang hartanya dari mana diperolehi dan ke mana dibelanjakan dan tentang tubuh badannya untuk apa digunakannya”.
HR Tirmizi No: 2341 Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap kita pada hari kiamat nanti akan dibangkitkan di Padang Mahsyar dan akan melalui pemeriksaan dan timbangan atas perbuatan kita semasa hidup di dunia.

2. Setiap kita akan ditanya tentang umur, ke mana dihabiskan dan dimanfatkan.

3. Akan ditanya tentang ilmu yang dimiliki. Adakah ilmu yang dimiliki bermanfaat? Adakah ilmu tersebut diamalkan? Adakah ilmu disebarkan sama ada melalui lisan atau tulisan?

4. Setiap harta yang diperoleh akan ditanya, adakah diperolehi dengan cara yang halal atau sebaliknya?. Setiap sen yang di belanjakan juga akan ditanya ke mana dan bagaimana diuruskan?

5. Pada tubuh badan kita juga akan ditanya. Seluruh anggota dan pancaindera yang dimiliki, ke mana telah digunakan semasa di dunia?

6. Marilah kita memperbanyak beristighfar dan mulai saat ini kita akan berusaha bersungguh-sungguh memastikan usia kita, ilmu kita, harta kita dan seluruh anggota kita diuruskan serta dimanfaatkan sebaik-baiknya demi meraih keredhaan Allah SWT.

________________________________________________________

#007 |Selasa | 04 Rejab 1445H | 16 Januari 2024

Sedekah Mengikut Keutamaan

Sedekah Mengikut Keutamaan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَصَدَّقُوا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ عِنْدِي دِينَارٌ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجَتِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى خَادِمِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ أَنْتَ أَبْصَرُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Bersedekahlah kalian". Lalu seseorang berkata: Wahai Rasulullah, aku hanya memiliki satu dinar. Baginda menjawab: "Bersedekahlah dengannya untuk dirimu". Lalu dia berkata: Aku mempunyai yang lain. Baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk isterimu." Dia berkata lagi: Aku mempunyai yang lain. Baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk anakmu". Dia berkata: Aku masih memiliki yang lain. Baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk pembantumu". Dia berkata: Aku memiliki yang lain lagi. Baginda bersabda: "Engkaulah yang lebih tahu."
(HR Nasa'i No: 2488) Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW menganjurkan agar kita bersedekah dengan harta yang dimiliki. Setiap yang dibelanjakan untuk kebaikan akan mendapat pahala sedekah.

2. Di saat kita memiliki harta atau wang ringgit, belanjakanlah ke arah kebaikan mengikut keutamaan dengan mendahulukan keperluan diri, nafkah kepada tanggungan dan seterusnya untuk yang difikirkan lebih layak dan berhak.

3. Bersedekahlah untuk diri sendiri dengan menunaikan hak kewajipannya merangkumi keperluan jasmani serta rohani dan perkara lain yang wajib dipenuhi.

4. Bersedekahlah untuk isteri dan anak-anak dengan memenuhi keperluan mereka seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal, pelajaran dan lain-lain.

5. Bersedekahlah untuk yang difikirkan lebih layak dan berhak termasuk para pekerja atau pembantu, kedua orang tua, keluarga atau saudara-mara dan apa-apa perkara kebaikan yang bersesuaian mengikut keutamaan.

_______________________________________________________

#006 |Isnin | 03 Rejab 1445H | 15 Januari 2024

 

Kemulian Bulan Rejab

Kemulian Bulan Rejab

عن أبي بكرة نفيع بن الحارث رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏ الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ وَذُو الحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Daripada Abi Bakrah Nafi’ bin al Harith RA, dari Nabi SAW bersabda: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab Mudhor terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban.” (HR Bukhari No: 4054) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Bulan Haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) bermaksud bulan ini diharamkan berperang dan juga ia adalah bulan yang suci, di mana setiap kezaliman yang dilakukan dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain.

2. Bulan Rejab Mudhor mengikut Syeikh Mustafa al-Bugho, perkataan Mudhor ini dinisbahkan kepada satu kabilah yang dinamakan Bani Mudhor kerana kabilah ini amat menjaga akan pengharaman bulan tersebut berbanding bulan-bulan lain.

3. Imam al-Hafiz Ibn Kathir di dalam tafsirnya telah menukilkan pendapat Ibn Abbas RA yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan juga adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. (Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 130/4)

4. Bulan Rejab antara empat bulan haram di mana kita digalakkan untuk menggandakan setiap amalan baik yang kita lakukan dalam bulan-bulan tersebut.

________________________________________________________

#005 | Jumaat| 30 Jamadil Akhir 1445H | 12 Januari 2024

Tiga Amalan Penerus Ganjaran Pahala

 

Tiga Amalan Penerus Ganjaran Pahala*
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: _"Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak soleh yang mendoakannya_."
(HR Muslim No: 3084) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
 
1. Setiap keturunan anak Adam bergantung dengan amal yang mereka lakukan semasa hidup.
 
2. Ada amalan yang dilakukan semasa hidup akan berterusan mengalir pahalanya walaupun setelah meninggal dunia iaitu amalan sedekah jariah, ilmu bermanfaat yang dimanfaatkan dan anak-anak soleh yang mendoakan.
 
3. Sedekah jariah merupakan sumbangan berbentuk harta seperti wakaf atau derma yang disumbangkan semasa hidup di mana hasil manfaatnya masih kekal untuk kebaikan. Amalan ini akan menjadi pahala yang berterusan sehingga hari kiamat.
 
4. Ilmu bermanfaat yang diajarkan kepada orang lain lalu dimanfaatkan oleh mereka untuk kemaslahatan hidup juga akan mengalirkan pahala yang berterusan, termasuk hasil ciptaan daripada ilmu yang dipelajari. Begitu juga dengan ilmu bermanfaat yang dihasilkan dalam bentuk buku, artikel, video atau sebarang penulisan yang baik dalam bentuk elektronik seperti laman web, FB, tiktok, telegram, whatsapp dan lain-lain.
 
5. Anak-anak soleh yang menghindari perbuatan berdosa dan sentiasa melakukan ketaatan juga dapat memberikan kebaikan, apabila dia mendoakan keampunan untuk kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia.

________________________________________________________

#004 | Khamis | 29 Jamadil Akhir 1445H | 11 Januari 2024

Keutamaan Alim Berbanding Abid

 

Keutamaan Alim Berbanding Abid

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ قَالَ ذُكِرَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلَانِ أَحَدُهُمَا عَابِدٌ وَالْآخَرُ عَالِمٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَضْلُ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِي عَلَى أَدْنَاكُمْ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرَضِينَ حَتَّى النَّمْلَةَ فِي جُحْرِهَا وَحَتَّى الْحُوتَ لَيُصَلُّونَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الْخَيْرَ

Daripada Abu Umamah Al Bahili RA dia berkata; "Dua orang disebutkan di sisi Rasulullah SAW, salah seorang adalah abid (ahli ibadah) dan seorang lagi adalah alim (orang yang berilmu), kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Keutamaan seorang alim berbanding seorang abid seperti keutamaanku berbanding orang yang paling rendah dalam kalangan kalian, " kemudian baginda melanjutkan sabdanya: "Sesungguhnya Allah SWT, para malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi, bahkan semut yang ada di dalam sarangnya dan bahkan hingga ikan paus semuanya mendoakan untuk orang berilmu yang mengajarkan kebaikan kepada manusia."
(HR Tirmizi No: 2609) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Kedudukan orang yang berilmu dan beramal adalah lebih baik berbanding orang yang beribadah tanpa ilmu.

2. Perumpamaan mereka yang memiliki ilmu agama serta beribadah berbanding mereka yang beribadah tanpa ilmu mengenainya adalah seperti kedudukan Rasulullah SAW berbanding orang kebanyakan yang paling rendah.

3. Orang berilmu yang mengajarkan kebaikan ilmunya kepada orang lain, akan didoakan oleh penduduk langit dan bumi termasuk semut dan ikan di lautan.

_______________________________________________________

#003 | Rabu | 28 Jamadil Akhir 1445H | 10 Januari 2024

Setiap Pemimpin Akan Dipertanggungjawabkan

Setiap Pemimpin Akan Dipertanggungjawabkan

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالْأَمِيرُ رَاعٍ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Daripada Ibnu Umar RA, daripada Nabi SAW bersabda: " Setiap kalian adalah pemimpin. Setiap kalian akan diminta bertanggungjawab terhadap sesiapa yang dipimpinnya. Seorang ketua adalah pemimpin. Seorang lelaki juga adalah pemimpin ke atas keluarganya. Seorang wanita juga adalah pemimpin ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan dipertanggungjawabkan ke atas sesiapa yang dipimpinnya. " (HR Bukhari No: 4801) Status: Hadis Sahih

Pengajaran :

1. Setiap kita adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan ke atas setiap yang berada di bawah kepimpinan kita.

2. Seorang ketua sama ada sebagai pemimpin negara, negeri, daerah, organisasi, jabatan, unit termasuk keluarga, besar atau kecil tetap akan dipertanggungjawabkan kepimpinannya.

3. Sebagai seorang lelaki pastinya akan disoal berkaitan kepimpinannya terhadap isteri, anak-anak serta sesiapa yang berada di bawah tanggungjawabnya.

4. Sebagai isteri pula bertanggungjawab dalam rumahtangga, sama ada terhadap suami mahupun anak-anak.

________________________________________________________

#002 | Selasa | 27 Jamadil Akhir 1445H | 9 Januari 2024

Doa Elak Mudarat

Doa Elak Mudarat

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ مَا لَقِيتُ مِنْ عَقْرَبٍ لَدَغَتْنِي الْبَارِحَةَ قَالَ: أَمَا لَوْ قُلْتَ حِينَ أَمْسَيْتَ: أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ لَمْ تَضُرَّكَ

Seorang lelaki telah datang kepada Nabi SAW lalu mengadu: Wahai Rasulullah, ketika aku sedang tidur, ada seekor kala jengking datang menyengatku. Lalu Nabi SAW bersabda: Jika kamu membaca ketika waktu petang (malam) itu: Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala bencana makhluk-makhluk yang diciptakan”, nescaya tidak akan berlaku perkara yang memudaratkan kamu. ” (HR Muslim No: 2709) Status: Hadis Sahih

Pengajaran :

1. Doa merupakan salah satu ibadah yang hebat kerana ia menghubungkan di antara seorang hamba dengan Pencipta (Allah SWT).

2. Rasulullah SAW mengajarkan doa agar dijauhkan daripada perkara yang memudaratkan. Antara doanya:

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

“ Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala bencana makhluk-makhluk yang diciptakan ”

________________________________________________________

#001 | Isnin | 26 Jamadil Akhir 1445H | 8 Januari 2024

Dosa Besar Menderhaka kepada Ibu Bapa

Dosa Besar Menderhaka kepada Ibu Bapa

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْكَبَائِرِ قَالَ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَقَتْلُ النَّفْسِ وَشَهَادَةُ الزُّورِ

Daripada Anas radliallahu 'anhu berkata; Nabi SAW ditanya tentang dosa-dosa besar. Maka baginda bersabda: "Menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua orang tua, membunuh orang dan bersumpah palsu". (HR Bukhari No: 2459) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:
1. Dosa besar ialah kesalahan yang dijanjikan azab yang pedih jika pelakunya tidak melakukan taubat nasuhah hingga diampunkan dosanya oleh Allah.
2. Di antara dosa-dosa besar tersebut ialah syirik kepada Allah, derhaka kepada kedua ibu bapa, membunuh dan bersumpah dusta
3. Setiap anak tidak boleh menyakiti kedua ibu bapanya, baik dengan perkataan, tindakan mahupun perbuatan, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
4. Derhaka kepada ibu bapa merupakan dosa yang amat besar di tangga kedua selepas dosa perbuatan syirik. Semoga kita menjauhi dosa-dosa besar ini.
________________________________________________________

Koleksi siri "Jom TADABBUR 5 HADIS seminggu" ini telah diterbitkan oleh:

Seksyen Dakwah dan Pembangunan Insan
Pusat Islam Universiti
Universiti Putra Malaysia

 

â—¾ Ayuh menyumbang untuk pembangunan dan pengimarahan Masjid UPM menerusi pautan https://pic.upm.edu.my/derma_khairat/pengimarahan_dan_pembangunan_masjid_upm-15012

 

 

 

 

 

 

 

Updated:: 05/02/2024 [asmunir]

MEDIA SHARING

UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXFDNAF~