MARCH 2024 | UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
» ARCHIVE COLLECTION » Lets Reflect » MARCH 2024

MARCH 2024

Koleksi siri "Jom TADABBUR 5 HADIS seminggu" ini telah diterbitkan oleh:

Seksyen Dakwah dan Pembangunan Insan
Pusat Islam Universiti
Universiti Putra Malaysia

 

â—¾ Ayuh menyumbang untuk pembangunan dan pengimarahan Masjid UPM menerusi pautan https://pic.upm.edu.my/derma_khairat/pengimarahan_dan_pembangunan_masjid_upm-15012

--------------------------------------------------------------------------------

#050 | Isnin | 7 Ramadan 1445H | 18 Mac 2024.

Ramadan Bulan Ibadah


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Bila bulan Ramadan tiba, maka dibukalah pintu-pintu syurga, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan pun dibelenggu." (HR Muslim No: 1793) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Apabila Ramadan menjelang, Rasulullah SAW mengingatkan para sahabat agar bersedia dengan kedatangan bulan Ibadah:

1. Ramadan adalah bulan yang diwajibkan ke atas umat Islam berpuasa.

2. Ramadan adalah bulan Syiam (berpuasa di siang hari) dan Qiam (menghidupkan malam dengan solat sunat, tilawah al-Quran, zikir dan doa).

3. Ramadan adalah bulan ibadah di mana dibuka pintu-pintu syurga. Mereka yang terus melaksanakan pelbagai amalan yang mengandungi ibadah atau kebaikan, akan menyediakan dirinya dengan rahmat Allah untuk masuk ke syurga.

4. Pintu neraka ditutup di bulan Ramadan. Ertinya, dengan kehadiran bulan Ramadan, kita dianjurkan untuk memperbanyak amal kebaikan maka dengan sendirinya perbuatan yang tidak baik (maksiat) dihindarkan. Dengan demikian, maka tidak ada lagi kesempatan untuk bermaksiat, dengan itu tertutuplah pintu-pintu neraka.

5. Bulan Ramadan dipermudahkan kepada umat Islam melaksanakan ibadah kerana syaitan telah dirantai atau dibatasi pergerakannya untuk mengganggu atau menggoda.

_________________________________________________________

#049 | Jumaat | 4 Ramadan 1445H | 15 Mac 2024.

Amal Masuk Syurga


عن جابر بن عبد الله رضي الله عنهما أَنَّ رَجُلاً سَأَلَ رَسُولَ اللهِ صل الله عليه و سلم فَقَالَ: أَرَأَيْتَ إِذَا صَلَّيْتُ الْمَكْتُوبَاتَ وَصُمْتُ رَمَضَانَ وَأَحْلَلْتُ الْحَلاَلَ وَحَرَّمْتُ الْحَرَامَ وَلَمْ أَزِدْ عَلَى ذَلِكَ شَيْئاً أَأَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَالَ: نَعَمْ

Daripada Jabir bin Abdullah RA, bahawa seorang lelaki telah bertanyakan Rasulullah SAW, dia berkata: Bagaimana pandanganmu jika aku mendirikan sembahyang fardhu, aku berpuasa bulan Ramadhan, aku menghalalkan perkara yang halal dan aku mengharamkan perkara yang haram. Aku tidak akan menambah apa-apa lagi lebih daripada itu. Apakah aku akan masuk syurga? Baginda bersabda: Ya!. (HR Muslim, no. 15) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap muslim dituntut untuk bertanya kepada orang yang arif tentang syariat Islam, tentang kewajibannya dan apa yang dihalalkan dan diharamkan baginya jika hal tersebut tidak diketahuinya.

2. Penghalalan dan pengharaman merupakan aturan syariat, tidak ada yang berhak menentukannya kecuali Allah SWT.

3. Keinginan dan perhatian yang besar dari para sahabat terhadap syurga diperlihatkan pada kesungguhan mereka dalam mencari jalan untuk sampai ke sana dengan bertanya kepada Rasulullah SAW melalui amal soleh yang boleh dilakukan.

4. Apabila seorang mukmin menunaikan segala tanggungjawab agama yang fardhu dengan sempurna (tanpa cacat) seperti solat fardhu dan puasa di bulan Ramadan, menghalalkan perkara yang halal (mengambilnya) dan mengharamkan perkara yang haram (meninggalkan), dia akan masuk syurga dengan kemurahan dan rahmat Allah SWT terhadap hamba-hambanya, walaupun dia tidak melakukan amalan-amalan sunat yang lain.

_________________________________________________________

#048 | Khamis | 3 Ramadan 1445H | 14 Mac 2024.

Penuhi Hak Orang Lain


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَتُؤَدُّنَّ الْحُقُوقَ إِلَى أَهْلِهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُقَادَ لِلشَّاةِ الْجَلْحَاءِ مِنْ الشَّاةِ الْقَرْنَاءِ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW: "Semua hak itu pasti akan dipenuhi (dibalas) pada hari kiamat kelak, hingga kambing bertanduk pun akan dituntut untuk dibalas oleh kambing yang tidak bertanduk (kerana patah)."(HR Muslim No: 4679) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Perbuatan yang dilakukan oleh seseorang tidak akan pernah luput dari pengawasan Allah SWT. Setiap kebaikan akan dibalas dengan kebaikan darinya dan setiap kesalahan yang dilakukan oleh seseorang, Allah tidak akan membiarkannya begitu saja, semuanya perlu ‘ditebus’ di akhirat nanti.

2. Kezaliman yang tidak selesai semasa didunia (tidak mendapat kemaafan atau balasan yang sepatutnya) akan terus berlanjutan dan akan diputuskan nanti di hari kiamat di hadapan Allah. Sekecil manapun kezaliman itu. Bahkan kezaliman seekor kambing yang menanduk kambing yang lainnya akan diadili oleh Allah.

3. Jika kezaliman yang dilakukan pada haiwan akan diadili oleh Allah di hari kiamat, maka apatah lagi kezaliman yang terjadi di antara manusia sudah pasti lebih layak untuk diadili dan diberi balasan sewajarnya.

4. Berusahalah menjaga hak orang lain yang menjadi tanggungjawab kita.

 

_________________________________________________________

#047 | Rabu | 2 Ramadan 1445H | 13 Mac 2024.

Takutlah Kepada Azab


عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنْ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلَا يُسْتَجَابُ لَكُمْ

Daripada Hudzaifah bin Al Yaman dari Nabi SAW baginda bersabda: "Demi Allah yang diriku dalam kekuasaan - Nya, hendaklah kalian melakukan amar makruf dan nahi mungkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) atau jika tidak nescaya Allah akan mengirimkan seksaan dari sisi-Nya kepada kalian, kemudian kalian memohon kepada-Nya namun doa kalian tidak lagi dimakbulkan." (Sunan Tirmidzi No: 2095) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap Muslim diperintahkan untuk menyampaikan dakwah, mengajak orang lain melakukan kebaikan dan dalam masa yang sama mencegah sebarang bentuk kemungkaran.

2. Jika kemungkaran yang berlaku dibiarkan tanpa sebarang usaha mencegah, dibimbangi akan diturunkan azab ke atas mereka.

3. At-Thabari menyampaikan sebuah riwayat dari Ibn ‘Abbas tentang ayat ini, Ibn ‘Abbas berkata: “Allah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk tidak mendiamkan kemungkaran yang nampak di hadapan mereka, jika demikian (tetap mendiamkan) maka Allah akan menimpakan azab yang berlaku kepada umum.

4. Allah juga tidak akan mengabulkan doa mereka.

_________________________________________________________

#046 | Selasa | 1 Ramadan 1445H | 12 Mac 2024.

Ganjaran Menunjukkan Kebaikan


عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ عُقْبَةَ بْنِ عَمْرٍو الْأَنْصَارِيِّ البَدْرِيِّ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ.

Daripada Abu Mas'ud 'Uqbah bin Amriy Al-Anshori Al-Badriy, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya." (HR Muslim, No: 1893) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Amal kebaikan yang dilakukan serta diusahakan oleh seseorang Muslim akan menjadi bekalan pahala di sisi Allah.

2. Antara amal kebaikan seseorang ialah menunjukkan suatu kebaikan kepada orang lain sama ada untuk kebaikan di dunia atau di akhirat. Kemudian amal kebaikan itu diikuti dan dilakukan oleh orang lain dan pelakunya akan mendapat ganjaran pahala.

3. Amalan menunjukkan kepada kebaikan merupakan amalan yang boleh dicontohi oleh orang lain dan lebih besar manfaatnya berbanding amalan yang manfaatnya hanya terbatas untuk diri sendiri.

4. Amalan kebaikan yang boleh ditunjukkan merangkumi perbuatan, percakapan dan penulisan. Contohnya menghasilkan poster, menulis tazkirah dan berkongsi di media sosial serta diamalkan oleh orang lain seperti tazkirah menghadapi ibadah Ramadan.

_________________________________________________________

#045 | Isnin | 30 Syaaban 1445H | 11 Mac 2024.

Berzikir Menjauhkan Daripada Syaitan


عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ، فَذَكَرَ اللهَ عِنْدَ دُخُولِهِ وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: لَا مَبِيتَ لَكُمْ، وَلَا عَشَاءَ، وَإِذَا دَخَلَ، فَلَمْ يَذْكُرِ اللهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ، وَإِذَا لَمْ يَذْكُرِ اللهَ عِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ وَالْعَشَاءَ

Daripada Jabir bin Abdullah bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda: Apabila seseorang masuk ke dalam rumahnya lalu menyebut nama Allah ketika masuk rumah dan ketika hendak makan, syaitan berkata kepada kawan-kawannya: Tiada tempat tinggal dan tiada makanan untuk kamu. Apabila seseorang itu masuk ke dalam rumah, tidak menyebut nama Allah ketika masuk rumah dan tidak menyebut nama Allah ketika makan, syaitan berkata: Kamu telah dapat tempat tinggal dan makanan. (HR Muslim No: 2018) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Antara adab seorang Muslim ialah sentiasa berzikir menyebut nama Allah dalam setiap perbuatannya. Ummul Mukminin Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ طَعَامًا فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللهِ، فَإِنْ نَسِيَ فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ

Apabila seseorang daripada kamu hendak mula makan, bacalah: Bismillah (Dengan nama Allah). Jika terlupa membacanya ketika hendak mula makan, maka bacalah: Bismillahi fi awwalihi wa akhirihi (Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya) (HR Tirmizi No: 1858) Status Hasan Sahih

2. Sesiapa yang berzikir menyebut nama Allah ketika masuk rumah, syaitan akan menghindarkan diri dari rumah tersebut.

3. Barangsiapa membaca Bismillah ketika makan, maka akan terpelihara makanannya daripada dicuri syaitan.

4. Barangsiapa memasuki rumah dengan tidak menyebut nama Allah, syaitan turut akan mendiami rumah tersebut. Sesiapa yang makan tanpa menyebut nama Allah, syaitan akan sama makan makanan tersebut.

_________________________________________________________

#044 | Jumaat | 27 Syaaban 1445H | 8 Mac 2024.

Jangan Menangguh Untuk Bersedekah.


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الصَّدَقَةِ أَعْظَمُ أَجْرًا قَالَ: أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيْحٌ شَحِيْحٌ تَخْشَى الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْغِنَى وَلَا تُمْهِلْ حَتَّى إِذَا بَلَغَتِ الْحُلُقُومَ قُلْتَ: لِفُلاَنٍ كَذَا وَلِفُلاَنٍ كَذَا وَقَدْ كَانَ لِفُلاَنِِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: "Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan bertanya; “Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?”. Baginda menjawab: “Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan ketika itu kamu berasa kedekut (kikir) dan takut menjadi miskin dan berangan-angan untuk menjadi orang kaya. Oleh itu, janganlah kamu menangguh untuk bersedekah sehingga roh sampai di kerongkongmu, maka, kamu baru berkata, "Ini untuk si fulan dan itu untuk si fulan, padahal harta itu sudah menjadi milik si fulan." (HR Bukhari no: 2748) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sedekah yang paling besar pahalanya ialah ketika kita sihat dan berasa sayang dengan harta tersebut malah kita bimbang harta akan berkurang apabila bersedekah dan kita pula berhasrat dengan mengumpul harta itu akan menjadi kaya.

2. Bersedekah jangan ditunda kerana bimbang kematian menjemput kita

3. Segera bersedekah, jangan tunggu nyawa sampai di halkum. Bila kita mati, harta yang ditinggalkan akan menjadi harta waris untuk difaraidkan, bukan milik kita. Bila ia menjadi hak orang lain, ia tidak mendatangkan manfaat kepada si mati.

4. Bagi yang ada lebihan harta, mari kita menyumbang kepada pelbagai tabung antaranya untuk tabung Palestin, tabung aktiviti Ihya Ramadan sempena menjelang Ramadan tahun ini seperti penajaan berbuka puasa.

_________________________________________________________

#043 | Khamis | 26 Syaaban 1445H | 7 Mac 2024.

Bangunkan Ahli Keluarga Solat Sunat Malam


عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي وَأَنَا رَاقِدَةٌ مُعْتَرِضَةً عَلَى فِرَاشِهِ فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يُوتِرَ أَيْقَظَنِي فَأَوْتَرْتُ

Daripada 'Aisyah RA berkata: "Nabi SAW pernah berdiri solat malam sedangkan aku berbaring di atas tikarnya. Apabila baginda melaksanakan solat sunat witir, Baginda membangunkan aku hingga aku pun bangun mengerjakan solat sunat witir." (HR Bukhari No: 997) Status Hadis Sahih

*Pengajaran*:

1. Bangun di waktu malam untuk menunaikan solat malam( qiamullail) antara amalan yang perlu dicontohi daripada Rasulullah SAW.

2. Rasulullah SAW mengejutkan ahli keluarganya untuk menunaikan solat sunat malam.

_________________________________________________________

#042 | Rabu | 25 Syaaban 1445H | 6 Mac 2024.

Hiasi Diri Dengan Sifat Malu


عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا كَانَ الْفُحْشُ فِي شَيْءٍ إِلَّا شَانَهُ وَمَا كَانَ الْحَيَاءُ فِي شَيْءٍ إِلَّا زَانَهُ

Daripada Anas RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah sifat buruk berada dalam sesuatu kecuali akan memperburuknya, dan tidaklah sifat malu ada dalam sesuatu kecuali akan menghiasinya". (Sunan Tirmidzi No: 1897) Status: Hadis Hasan

*Pengajaran*:

1. Sifat malu yang ada pada seseorang akan menjadi penghias akhlak terpuji dan diberikan ganjaran pahala antaranya malu melakukan maksiat.

2. Sifat buruk yang ada pada seseorang akan menjadikannya bertambah buruk dan hina di sisi Allah dan makhluk lain.

3. Sifat malu diganjari Syurga, sifat buruk diganjari neraka.

__________________________________________________________

#041 | Selasa | 24 Syaaban 1445H | 5 Mac 2024.

Bersifat Tawaduk


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلَا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَإِنَّهُ أَجْدَرُ أَنْ لَا تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Lihatlah orang yang lebih rendah daripada kamu dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi darjatnya daripada kamu, itulah yang lebih baik supaya kamu tidak merendah-rendahkan nikmat Allah yang dikurniakan kepada kamu". (HR Tirmidzi No: 2437) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Memiliki sifat redha dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki adalah suatu yang dituntut.

2. Buatlah perbandingan nikmat yang kita miliki dengan orang lain yang tidak memilikinya, nescaya kita akan sentiasa bersyukur dan merasa cukup dengan apa yang kita ada, tidak akan kecewa, sedih mahupun dengki pada orang lain.

3. Elakkan dari membuat perbandingan dengan orang yang lebih kaya dan berada kerana akan menghilangkan rasa bersyukur malah akan mendatangkan rasa kecewa, sedih malah sentiasa berdengki dengan kelebihan pada orang lain.

4. Dalam hal yang berkaitan dengan akhirat, kita hendaklah sentiasa melihat orang yang lebih baik daripada diri kita untuk bersaing dan berlumba mencontohinya.

_________________________________________________________

#040 | Isnin | 23 Syaaban 1445H | 4 Mac 2024.

Bahaya Memuji Orang Berlebihan


عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَجُلًا ذُكِرَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَثْنَى عَلَيْهِ رَجُلٌ خَيْرًا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَيْحَكَ قَطَعْتَ عُنُقَ صَاحِبِكَ يَقُولُهُ مِرَارًا إِنْ كَانَ أَحَدُكُمْ مَادِحًا لَا مَحَالَةَ فَلْيَقُلْ أَحْسِبُ كَذَا وَكَذَا إِنْ كَانَ يُرَى أَنَّهُ كَذَلِكَ وَحَسِيبُهُ اللَّهُ وَلَا يُزَكِّي عَلَى اللَّهِ أَحَدًا

Daripada Abdurrahman bin Abu Bakrah dari Ayahnya bahawa seorang laki-laki disebut-sebut disamping Nabi SAW, lalu laki-laki lain memuji kebaikan laki-laki tersebut, lalu Nabi SAW bersabda: "Celaka kamu, kamu telah memenggal leher saudaramu." Baginda mengatakannya berulang-ulang. Baginda berkata, Jika salah seorang dari kalian ingin memuji temannya, hendaklah ia mengucapkan: 'Aku kira fulan seperti ini dan itu, walaupun jika diperhatikan ia memang seperti itu. Cukuplah Allah yang menentukan kebaikannya dan janganlah mendahului Allah dalam memuji orang." (HR Bukhari No: 5601) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Memuji kebaikan yang ada pada seseorang tidaklah dilarang secara mutlak. Namun Rasulullah menegur dengan keras orang yang memuji orang lain dengan:

a. Pujian yang berlebihan
b. Pujian yang mengandung sifat yang tidak ada pada diri orang yang dipuji.
c. Pujian yang menimbulkan fitnah (timbul ujub, menyombongkan diri) pada orang yang dipuji terutama apabila dipuji dihadapannya.

2. Rasulullah memberi teguran keras kepada orang yang memuji orang lain yang disetarakan dengan memenggal leher kawan tersebut kerana bimbang terjerumus seperti umat terdahulu, khususnya kaum Yahudi dan Nasrani yang memuji sehingga menyamakan dengan sifat Allah (syirik yang merupakan dosa besar).

3. Amal yang kita lakukan adalah ikhlas untuk mencari redha Allah bukan pujian manusia.

_________________________________________________________

#039 | Jumaat | 20 Syaaban 1445H | 1 Mac 2024.

Perbanyak Puasa Sunat Dibulan Syaaban


عَنْ أَبِي سَلَمَةَ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا عَنْ صِيَامِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ كَانَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ صَامَ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ أَفْطَرَ وَلَمْ أَرَهُ صَائِمًا مِنْ شَهْرٍ قَطُّ أَكْثَرَ مِنْ صِيَامِهِ مِنْ شَعْبَانَ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ إِلَّا قَلِيلًا

Daripada Abu Salamah ia berkata, saya pernah bertanya kepada Aisyah RA tentang puasa Rasulullah SAW, maka Aisyah RA berkata; Rasulullah SAW sering berpuasa hingga kami mengira bahawa baginda akan puasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak puasa) sehingga kami mengira baginda akan berbuka (tidak puasa) terus-menerus. Dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali bulan Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda puasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban. Baginda berpuasa pada bulan Syaaban hingga sisa harinya tinggal sedikit." (HR Muslim No: 1957) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW sentiasa memelihara ibadat puasa sunat setiap bulan seperti puasa Isnin, Khamis juga pada hari-hari puteh (13, 14 dan 15 hari bulan).

2. Rasulullah SAW berpuasa penuh sebulan pada bulan Ramadan

3. Rasulullah SAW membanyakkan puasa sunatnya pada bulan Syaaban kecuali beberapa hari dihujung Syaaban.

4. Ambillah peluang kelebihan berpuasa dengan memperbanyakkan doa agar dilepaskan dari pelbagai musibah dan lain-lain kerana doa orang yang sedang berpuasa adalah mustajab.

----------------------------------------------------------------------------------

Koleksi siri "Jom TADABBUR 5 HADIS seminggu" ini telah diterbitkan oleh:

Seksyen Dakwah dan Pembangunan Insan
Pusat Islam Universiti
Universiti Putra Malaysia

 

â—¾ Ayuh menyumbang untuk pembangunan dan pengimarahan Masjid UPM menerusi pautan https://pic.upm.edu.my/derma_khairat/pengimarahan_dan_pembangunan_masjid_upm-15012

--------------------------------------------------------------------------------

Updated:: 02/05/2024 [asmunir]

MEDIA SHARING

UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXFDWAT~